Masjid Peringgit



Peringgit mendapat namanya apabila Pemerintah Portugis di Melaka (1511 - 1641) membina pos kawalan dipuncak bukit itu. Ianya bertujuan mengawal pergerakan serangan orang-orang Naning, daerah kecil yang merdeka. Lantas bukit ini disebut sebagai Bukit Peringgit dan kemudiannya disebut Peringgit kekal hingga hari ini. (Peringgi adalah gelaran orang-orang Melaka terhadap orang Portugis)


Masjid asal Peringgit yang dibina pada tahun 1141 Hijrah bersamaan 1726 Masihi telah musnah. Masjid itu pula telah dibina pada tahun 1293 Hijrah bersamaan 1868 Masihi. Ianya adalah masjid tradisional Negeri Melaka. Berbentuk empat persegi, bahan binaan terdiri daripada batu laterite dan batu bata era Belanda sebagai asas dan dinding, lantai masjid diperbuat daripada susunan terracotta. Loteng, perabung, kekisi tingkap dan pintu dibuat dari kayu. Tiga lapisan bumbung adalah ciri utama masjid di Melaka. Gentingnya terdiri daripada genting China pada bahagian verandah dan genting Belanda pada bumbung tengah dan bumbung utama. Bahagian kubah/punchk dibuat dari batu karang berukir seperti yang dapat dilihat
.

Pada tahun 1978/1979 kerajaan Negeri Melaka telah menambah besar bahagian belakang masjid itu dengan binaan konkrit yang melenyapkan tangga utama, perigi, kolah, susunan terracota dan batu bata era Belanda di bahagian halaman. Genting China dan genting Belanda ditukar kepada genting simen dan lantai terracotta di verandah ditukar kepada jubin moden. Di bahagian sisi sebelah kanan telah dibina binaan tambahan yang digunakan sebagai kelas Fardu Ain untuk kanak-kanak setempat.


Apabila Masjid Negeri siap dibina pada tahun 1988, Masjid Peringgit tidak lagi digunakan untuk solat Jumaat kerana kedudukannya yang berhampiran dan kariah masjid berpindah ke Masjid Negeri. Masjid Peringgit digunakan oleh penduduk setempat untuk solat harian sahaja. Lama kelamaan banyak dari kerja kayunya yang roask disebabkan anai-anai dan air hujan sehinggakan ianya tidak lagi selamat untuk digunakan.


Pada tahun 2002, Jabatan Muzium dan Antikuiti telah melaksanakan kerja-kerja konservasi dengan mengembalikan bentuk asal Masjid Peringgit.


Comments