Galeri Tun Abdul Ghafar Baba



On Mobile
#melaka #malacca

Sumber | Arkib Negara Malaysia


Galeri Tun Abdul Ghafar Baba telah dibuka secara rasminya oleh Tuan Yang Terutama Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob pada 28 Februari 2006.

Galeri ini dibangunkan sebagai memperingati jasa Tun Ghafar Baba sebagai pemimpin yang amat dihormati, disegani dan disanjungi oleh rakyat di negara ini.

Galeri yang terletak di Lot 163, Persiaran Tun Abdul Ghafar Baba, Peringgit, Melaka ini adalah merupakan rumah asal Tun Ghafar Baba semasa beliau menetap di Melaka dan dibina pada tahun 1956.

Rumah ini yang diperbuat dari kayu berkonsepkan rumah kampong kemudiannya telah diubahsuai oleh beliau apabila dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka dari 1959 sehingga 1967.

Tujuan pengubahsuaian ini adalah bagi menampung kunjungan tetamu.

Ruang pameran di Galeri Tun Abdul Ghafar Baba ini terbahagi kepada 2 bahagian utama iaitu bahagian bawah yang mempamerkan barang-barang peribadi beliau semasa menjawat jawatan selaku wakil rakyat, Ketua Menteri Melaka, Menteri Kabinet dan seterusnya sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Selain itu, ruang pameran di tingkat bawah galeri ini turut menempatkan bilik tidur utama dan ruang makan yang masih dalam keadaan susunan asal.

Di ruangan pameran tingkat atas pula, pengunjung boleh melihat secara dekat dua bilik tidur yang pernah digunakan oleh keluarga Tun Abdul Ghafar Baba. Selain itu bahan-bahan seperti cenderama, ucapan-ucapan, gambar, buku-buku, peti televisyen dan perabot asal yang pernah digunakan oleh beliau turut dipamerkan di ruangan ini.

Sejarah Ringkas Tun Abdul Ghafar Baba

Abdul Rapal yang kemudiannya bertukar nama kepada Abdul Ghafar dilahirkan pada 18 Februari 1925 di Tebat Keling, sebuah desa terpencil terletak di Kampung Bukit Tembusu, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Bapanya, Baba bin Abdullah berasal dari Sungai Udang dan ibunya, Soadah Binti Salleh berasal dari Bemban, Melaka.

Tun Ghafar Baba merupakan anak keenam daripada Sembilan adik-beradik yang terdiri daripada Zauyah, Rahmad, Salbiah, Nurdan (Baharuddin), Sharani, Jamiah, Zakaria dan Abdul Aziz.

Tun Abdul Ghafar Baba mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kuala Pilah, Negeri Sembilan. 
Beliau menyambung persekolahannya di Sekolah Melayu Tangga Batu, Sungai Udang, Melaka.

Di sekolah inilah beliau menamatkan pelajaran sekolah rendahnya pada tahun 1940 dengan mendapat pangkat pertama. Dengan kelulusan tersebut, beliau kemudiannya menjadi guru pelatih di Sekolah Melayu Pengkalan Balak, Melaka sehingga meletuskan Perang Dunia Kedua pada tahun 1941.

Pada 25 September 1946, Tun Abdul Ghafar Baba telah mendaftar sebagai guru pelatih di Maktab Penguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Pada masa itu, beliau telah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Pada Julai 1949, Tun Abdul Ghafar Baba telah lulus Sijil Perguruan dari maktab tersebut iaitu maktab yang turut melahirkan tokok-tokoh besar tanahair seperti Syed Nasir Ismail, Abdul Rahman Talib, Senu Abdul Rahman, Ibrahim Yaakob dan lain-lain lagi.

Kronologi Riwayat Hidup Tun Abdul Ghafar Baba

1925 Lahir di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada hari Rabu 18hb Februari 1925. Anak kepada Baba bin Abdullah dari Sungai Udang, Melaka dan Soadah Binti Salleh dari Kampung Bemban, Melaka.

1940 Menjadi ahli Kesatuan Melayu Muda. (KMM)

1945 Menganggotai Parti Kebangsaan Melayu Malaya. (PKMM)

1946 Memasuki guru Sekolah Melayu Pengkalan Balak, Melaka.

1949 Menjadi guru Sekolah Melayu Pengkalan Balak, Melaka.

1950 Dipilih sebagai Setiausaha Kesatuan Guru-guru Melayu Melaka (KGMM)

1951 Menjadi ahli UMNO dan dipilih sebagai setiausaha UMNO Melaka.

1955 Pengerusi UMNO Melaka Ahli Majlis Perundangan Persekutuan apabila menang pilihan raya pertama.

1957 Ahli Majlis Tertinggi UMNO

1958 Ketua Penerangan UMNO.

1959 Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dan dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka.

1962 Naib Pengerusi UMNO hinggai 1987.

1967 Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan dilantik sebagai Senator dan Menteri Tanpa Portfolio.

1969 Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

1973 Menteri Pembangunan Ekonomi Luar Bandar.

1974 Menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar dan dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional.

1976 Meninggalkan Kabinet apabila Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri dan dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Utusan Melayu (M) Berhad hingga tahun 1986.

1985 Menjadi Presiden di feato MCA (gelaran yang diberikan bertindak sebagai orang tengah antara pihak-pihak bertelagah dalam Negara).

1986 Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

1987 Memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO sehingga 1993.

1993 Meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

1995 Dianugerahkan pingat Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun.
2000 Dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan (Sains Politik) Universiti Teknologi MARA (UiTM).

2006 Kembali ke Rahmahtullah pada hari Ahad 23 April 7:35 pagi dan disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.






Comments